Klik sini untuk mendaftar

Tuesday, November 18, 2014

Konvokesyen Kali ke-9 2014 : Tahniah!

Kredit : Utusan Online 17 November 2014


"Sofia dedikasi anugerah untuk arwah ibu"




JOHOR BAHRU 16 Nov. 2014 – “Anugerah ini adalah hadiah buat arwah ibu. Biarpun dia sudah hampir dua tahun tinggalkan saya, pesa­nan dan kasih sayangnya sentiasa subur dalam sanubari.

“Ibu selalu pesan suruh saya belajar rajin-rajin dan bersungguh-sungguh. Saya sedikit sebak kerana tidak dapat berkongsi ke­gembiraan ini dengannya, namun saya perlu kuat untuk terima takdir ini.”

Demikian luahan hati Sofia Jaamad, 23, yang menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif sempena Majlis Konvokesyen Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt) Ke-8 mengenang pesanan yang sering dititipkan oleh arwah ibunya dan dijadikan azimat untuk terus gagah me­nempuh cabaran.

Menurut graduan Diploma Pe­ngajian Sukan itu, anugerah yang diterimanya bukanlah sesuatu yang dijangka, apatah lagi sepanjang tiga tahun pengajian pelbagai cabaran terpaksa ditempuhinya.

“Jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar sepanjang pengajian ini,” katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.71.

Sebanyak 297 graduan mene­rima diploma masing-masing dalam konvokesyen itu yang terdiri daripada penuntut jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Perhotelan, Diploma Kesetiausahaan Undang-Undang dan Diploma Tek­nologi Maklumat.

Sementara itu, penerima Anu­gerah Khas Pengerusi Eksekutif, Mohd. Hazeli Mohd. Hafiz Nganli, 21, yang merupakan graduan Diploma Teknologi Maklumat berkata, pengorbanan tiga tahun menuntut ilmu akhirnya membuahkan hasil.

Selain lulus cemerlang dengan PNGK 3.72, dia mampu tersenyum apabila diterima bekerja sebagai pembantu teknikal teknologi maklumat di salah sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang pada Mac lalu.

“Syukur atas kejayaan yang saya peroleh ini. Terima kasih kepada semua kerana sentiasa berdiri teguh di belakang saya dan memberi semangat pada saat saya hilang fokus,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu yang turut bercadang melanjutkan pengajian secara jarak jauh dalam bidang yang sama.



No comments:

Post a Comment